Friday 23 October 2020

SISTEM KESIHATAN DI ERA PENJAJAHAN BRITISH

 

Pendahuluan


            Kedatangan pihak penjajah sememangnya telah membawa maksud perubahan dalam asepk politik, skonomi dan social di tanah Melayu. Perkembangan yang dirasai dalam aspek ekonomi juga secara langsung telah mempengaruhi aspek kesihatan di tanah Melayu. Perkembangan yang dirasai dalam aspek ekonomi juga secara langsung telah mempengaruhi aspek kesihatan di tanah Melayu. Pada sekitar abad ke-19, negeri2 di tanah melayu menghadapi masalah kesihatan yang serius. Kebanyakan factor yang menyumbang kepada kematian yang tinggi adalah di sebabkan oleh penyakit-penyakit seperti kolera, malaria, beri-beri, taun dan sebagainya. Oleh sebab itu, kerajaan British telah melakukan tindakan yang bijak dalam membendung penularan wabak penyakit ini. Antara langkah yang diambil ialah dengan menubuhkan hospital. Walaupun pada peringkat awal penubuhan hospital hanya untuk kemudahan pegawai british dan golongan elit sahaja, namun begitu, british mula membuka hospital kepada orang ramai. Mereka telah menubuhkan hospital dan membuka wad-wad khas untuk orang tempatan. Walaupun begitu, hospital yang didirikan adalah dengan menggunakan bajet yang rendah. Hospital yang pertama telah dibina di Negeri-Negeri Melayu iaitu hospital yang telah dibina oleh Yap Ah Loy, dimana hospital ini dibina khusus untuk pelombong-pelombong Cina yang sakit di sekitar Kuala Lumpur. Lama kelamaan bilangan hospital ini bertambah.

 

Faktor Masyarakat Melayu Enggan Menerima Kemajuan Kesihatan Yang Diperkenalkan Oleh British

Bertentangan Dengan Hukum Syarak

Masyarakat Melayu pada awalnya memberikan reaksi negatif terhadap perkembangan kesihatan yang dibawa oleh British ini. Kesalahfahaman masyarakat Melayu berlaku apabila mereka menganggap segalanya yang datang daripada Barat adalah haram dan melanggar hukum syarak. Hal ini kerana terdapatnya perbezaan ketara antara orang melayu dan eropah dari segi budaya dan corak hidup. Orang Melayu tidak mempunyai pengetahuan tentang kaedah perubatan moden yang menggunakan suntikan, pembedahan dan sebagainya. Masyarakat Melayu menganggap kaedah suntikan yang digunakaan adalah haram dari segi syarak. Bagi mereka, memasukkan sesuatu kedalam badan yang tidak jelas kandungannya adalah haram. Selain itu, orang melayu juga mengatakan bahawa ubat kuinin yang diperkenalkan dan disebarkan adalah haram kerana dibuat daripada tulang anjing dan turut mengandungi alkohol.

 

Pekerja Hospital Adalah Orang Bukan Islam

            Satu lagi faktor penting yang dianggap oleh masyarakat Melayu pada waktu itu yang melanggar hukum syarak apabila hospital-hospital kebanyakan kakitangannya terdiri daripada doktor-doktor Eropah yang berpengalaman serta penolong-penolong mereka namun ia masih lagi tidak berjaya meyakinkan orang tempatan. Ini kerana semua pakar-pakar ini terdiri daripada orang asing dan bukanlah beragama Islam. Mereka menganggap apabila ketika menerima rawatan daripada orang bukan Islam dan bersentuhan dengan orang bukan Islam, ini adalah haram disisi agama Islam . Oleh hal yang demikian,  masyarakat Melayu sukar menerimanya kemajuan kesihatan yang dibawakan oleh British ini. British bagaimanapun sedar tentang faktor yang menghalang ini dan telah merancang untuk mengambil orang melayu dalam bidang kesihatan.

Kepercayaan Kepada Sistem Perubatan Tradisional

      Sebelum kemasukkan British di Tanah Melayu, masyarakat tempatan sudah memiliki kepercayaan mereka sendiri dalam kehidupan. Kepercayaan tradisi mereka ini sangat kuat pengaruhnya sehingga British sukar untuk menerapkan perkhidmatan kesihatan yang baru serta lebih baik kepada mereka. Hal ini juga kerana, perubatan secara tradisional tersebut telah digunakan secara meluas penduduk tempatan di setiap negeri di Tanah Melayu. Terdapatnya ikatan yang begitu rapat antara masyarakat Melayu dan kaedah perubatan tradisional. Kebanyakan masyarakat Melayu pada ketika itu, yakin terhadap bomoh kerana mereka amat percaya bahawa segala penyakit yang berlaku amat berkaitan dengan kuasa ghaib dan hanya orang yang boleh berhubung dengan kuasa ghaib seperti bomoh sahaja yang boleh menyembuhkan penyakit yang dialami. Antara, bentuk perubatan tradisional yang diberikan bomoh kepada pesakit seperti melalui jampi. Dengan bentuk rawatan ini iaitu menggunakan ayat-ayat al-Quran dan dibacanya, ini mendorong kepada tahap kepercayaan masyarakat tempatan adalah lebih tinggi. Peranan yang dimainkan oleh bomoh atau pawang adalah lebih menonjol berbanding dengan pakar-pakar perubatan yang telah dibawa masuk. Contohnya di Kedah, peranan bomoh bukan sahaja dikatakan untuk merawat serta menyembuhkan penyakit malah bomoh juga turut berperanan dalam kehidupan masyarakat Melayu di Kedah seperti upacara mendirikan rumah baru, berpindah rumah dan upacara perkahwinan. Kesan daripada semua ini menyebabkan masyarakat tempatan lebih meyakini serta mempercayai perkhidmatan bomoh itu.

 

Hospital Lebih Tertumpu Kepada Orang Eropah

Selain itu, hospital-hospital yang didirikan itu dikatakan lebih mementingkan golongan Eropah dan mereka yang berkepentingan. Walaupun sudah terdapat kesedaran oleh pihak British tentang bahayanya penyakit dan wabak jangkitan yang mana ia mula melanda rakyat pada ketika itu dan mereka mula memperluaskan perkhidmatan kesihatan, namun dalam memberikan rawatan di hospital didapati masih lagi cenderung terhadap kedudukan dan status yang masih lagi memainkan peranan penting. Pada tahun 1920 terdapat 20 buah hospital yang telah dikhaskan kepada orang-orang Eropah sahaja, manakala terdapat sebuah hospital yang dikenali sebagai Pauper Hospital yang dikhaskan kepada masyarakat miskin. Keadaan ini yang mengakibatkan masyarakat tidak berpuas hati serta sukar untuk menerima rawatan di hospital. Bagi mereka rawatan yang terbaik dan berkualiti telah diterima oleh orang-orang Eropah, golongan elit serta mereka yang berkepentingan. Walaupun,  masyarakat tempatan yang miskin turut diberikan rawatan kesihatan namun, rawatan yang diberikan tersebut adalah tidak berkualiti berbeza dengan golongan yang lebih penting tersebut yang mendapat rawatan yang berkualiti. Dari segi penyediaan wad-wad pula, bagi orang-orang miskin hanyalah disediakan wad-wad yang biasa sahaja berbanding dengan orang-orang Eropah yang dapat mendiami wad-wad yang lebih selesa. Makanan yang disediakan kepada pesakit juga adalah makanan yang tidak berkualiti dan disediakan oleh orang bukan Islam. Keadaan ini adalah salah  satu faktor penolakkan masyarakat terhadap pekhidmatan kesihatan yang diwujudkan oleh British.

Hospital Dibina  Juah Di Bandar dan Pandangan Negatif  Terhadap Hospital

            Kebanyakan hospital yang ditubuhkan oleh pihak British lebih tertumpu di kawasan Bandar dan ini telah menyebabkan masyarakat tempatan  ketika itu tidak berupaya mendapatkan khidmat perubatan, kerana mereka tinggal berjauhan serta tidak mempunyai kemudahan pengangkutan yang disediakan disamping jarak perjalanan yang jauh ditambah lagi dengan ketiadaan jalan perhubungan yang baik pada ketika itu. Keadaan ini amat menyulitkan masyarakat tempatan. Hospital-hospital yang dibina adalah pada peringkat awal lagi, contohnya dapat dilihat di negeri Selangor apabila kewujudan hospital pada tahun 1880-an lagi. Namun kebanyakan hospital yang ditubuhkan itu lebih tertumpu di kawasan bandar besar sahaja.

            Terdapat juga pandangan negatif terhadap rawatan di hospital yang mengatakan bahawa orang yang tinggal dihospital merupakan orang yang sebatang kara (tidak ada ahli keluarga yang mahu menjaganya). Orang melayu tidak mahu ke hospital kerana rasa terbuang. Ada juga yang menganggap bahawa hospital merupakan rumah mayat dah berhantu. Orang Melayu pada waktu itu juga, tidak sanggup untuk menunggu dalam masa yang lama untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan di hospital dan adakalanya ianya memakan hari untuk membolehkan mereka dirawat.  Kos perkhidmatan pula dikatakan tinggi dan orang melayu yang pada waktu itu hanyalah terdiri daripada golongan bukan berada. Keadaan ini telah membantutkan keinginan masyarakat untuk pergi mendapatkan rawatan.

Kesimpulan

            Saya bersetuju dengan kenyataan bahawa masyarakat Melayu pada awalnya enggan menerima kemajuan perubatan yang diperkenalkan ekoran bertentangan dengan hukum syarak namun masyarakat melayu tidak hanya berpegang kepada satu faktor itu sahaja, terdapat beberapa lagi faktor yang dinyatakan telah menjelaskan mengapa masyarakat melayu enggan menerima kemajuan perubatan yang dibawa. Namun begitu, persepsi ini telah berubah selepas British bijak menjalankan strategi dalam menjalankan kemajuan yang dapat mengikut kehendak masyarakat Melayu pada waktu itu dan masyarakat juga sedar tentang kepentingan menerima kemajuan perubatan. apa yang dapat disimpulkan mengenai kemajuan kesihatan yang dibawa masuk oleh British adalah suatu usaha bagi meningkatkan lagi taraf kesihatan penduduk.          Hal ini kerana dengan kemajuan perubatan atau yang lebih moden mampu mengatasi masalah penyakit yang semakin lama semakin berbahaya kepada penduduk tempatan. Walaupun, pada awalnya masyarakat tempatan berkeras enggan untuk menerima kemajuan kesihatan daripada British yang dianggap bertentangan dengan hukum syarak, namun dengan kebijaksanaan British iaitu memahami bentuk pemikiran orang Melayu telah memberi kesan yang positif dalam membawa masyarakat tempatan menerima khidmat kesihatan British tersebut. Selain itu, British juga bersama kerajaan negeri bertanggugjawab dalam menyediakan kemudahan kesihatan kepada masyarakat tempatan serta pekerja-pekerja asing yang bekerja di Tanah Melayu.

Kedudukan Sultan Selepas Kedatangan British

 

Pengenalan

            Stratifikasi sosial merupakan pembahagian anggota masyarakat kepada beberapa strata atau lapisan sosial yang disusun dalam satu hierarki kedudukan. Stratifikasi sosial meletakkan seseorang pada kedudukan dan peranan yang dimainkan dalam masyarakat. Lapisan-lapisan ini tidak sama atau tidak setaraf dari segi kuasa, kekayaan, gaya hidup, tanggungjawab dan sebagainya. Dalam sistem pentadbiran kerajaan Melayu, dapat dilihat bahawa telah wujud dua bahagian iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah secara amnya terdiri daripada kerabat diraja dan Sultan sebagai kuasa tertinggi, manakala golongan diperintah pula terdiri dari rakyat jelata. Kemasukan Brirish ke tanah Melayu dikatakan telah menjejaskan stratifikasi sosial di Tanah Melayu terutamanya dalam membabitkan kedudukan Sultan atau Yang Dipertuan. Sebenarnya, kedudukan Sultan telah diperteguhkan lagi dalam stratifikasi sosial masyarakat Melayu tradisional semasa kedatangan British. Hal ini dapat dilihat dimana British masih mengekalkan kedudukan Sultan atau Yang Dipertuan dalam sistem pemerintahannya disebabkan oleh sebab-sebab tertentu. Walaupun kedudukannya semakin diperteguh, namun fungsi dan kuasa Sultan telah berkurangan dan Sultan telah dianggap sebagai boneka ketika zaman pemerintahan British di Tanah Melayu.

Kedudukan Sultan Dalam Era Tradisional

            Sultan atau Yang Dipertuan mempunyai kedudukan yang tertinggi dalam hierarki sosial masyarakat melayu dan berkuasa penuh dalam unit politik yang terbesar iaitu negeri dan juga tanah jajahan takluknya. Sultan juga dianggap sebagai lambang atau simbol perpaduan masyarakat Melayu. Sultan berperanan penting dalam tiga aspek utama iaitu politik, sosial dan ekonomi. Peranan Sultan adalah sebagai ketua kerajaan yang memerintah secara mutlak dan dibantu oleh pembesar yang bertindak sebagai penasihat. Sultan juga merupakan wakil negeri dalam hal ehwal negeri dan pertahanan disamping menjadi lambang kesatuan atau kebesaran negeri. Sultan merupakan pemimpin utama angkatan tentera di mana baginda akan mengetuai angkatan tentera bagi mempertahankan negeri dan meluaskan jajahan takluknya. Baginda juga bertindak sebagai penyelesai masalah rakyat dengan menjalankan pemerintahan dan hukuman yang adil kepada rakyat.

            Martabat Sultan disokong oleh konsep kesucian dan kekuatan luar biasa. Martabat Sultan dipertontonkan kepada rakyat dalam proses menjadi seorang Sultan dalam sebuah upacara di dalam sebuah negeri. Kedudukan Sultan ini diperkukuhkan lagi dengan adanya konsep daulat dan derhaka yang sangat digeruni oleh rakyat pada ketika itu. Dengan adanya konsep ini, rakyat akan memberikan taat setianya terhadap Sultan. Oleh kerana rasa patuh dan taat setia kepada Sultan, telah munculnya satu amalan berkenaan sistem hamba dan kerahan dalam kalangan masyarakat Melayu. Sultan berhak mendapat perkhidmatan percuma daripada hamba abdi, orang berhutang dan rakyat jelata yang dikerah bekerja pada bila-bila masa sahaja. Sultan juga memiliki cop mohor sebagai lambang kekuasaannya dan mempunyai sumber ekonomi yang banyak. Sultan memperoleh kekayaan daripada pelbagai sumber, antaranya cukai-cukai tanah, ternakan, tanaman, perdagangan, ufti daripada jajahan takluknya, royalty, hadiah daripada pedagang luar dan denda membuat kesalahan.

Kedudukan Sultan Selepas Kedatangan British

            Selepas kedatangan British, telah berlaku perubahan terhadap stratifikasi sosial masyarakat Melayu. Setiap negeri Melayu kecuali Pulau Pinang dan Melaka, Sultan masih merupakan pemerintah tertinggi dan simbol kesatuan tetapi kuasa politik dan ekonominya banyak dikurangkan. Kedatangan British telah mengukuhkan lagi kedudukan Sultan dalam stratifikasi sosial masyarakat Melayu. Sultan masih berada di kemuncak pemerintahan malah diperkuatkan lagi kedudukannya oleh British. British hanya berkuasa dari segi hubungan luar bagi Negeri-negeri Melayu yang bukan jajahan British. Sebagai negeri lindungan, kedaulatan sesebuah negara masih kekal ditangan Sultan atau yang Dipertuan. Sultan penting untuk dipelihara dan dijaga kedudukannya. Pengaruh Sultan penting sebagai alat menumpukan taat setia rakyat kepada kerajaan. Unsur pengaruh ini dilihat penting kepada pihak British dan ia harus diperteguhkan. British mempertahankan kedudukan Sultan supaya berada dia atas stratifikasi sosial dengan mengambil peranan eksekutif. Kuasa politik terletak di tangan pegawai tadbir British khasnya Residen. Pentadbiran Negara dikendalikan oleh Kerajaan Negeri di bawah kawalan British dan Kerajaan Negeri yang berhak mengutip cukai untuk membiayai urusan pentadbiran. Peranan pembesar telah ditarik satu persatu dan peranan ini diisi dengan birokrasi British. Umumnya, dapat dikatakan bahawa, sistem pendtabiran ataupun organisasi sosial masyarakat Melayu tradisional telah digantikan dengan organisasi yang lebih birokratik. Stratifikasi inilah yang mendokong Sultan terus berada di kemuncak.

Perkara Yang Terjejas Selepas Kedatangan British

Politik

            Sebelum kedatangan British, Sultan berkuasa mutlak untuk memerintah dan menguruskan hal-hal pentadbiran negara serta menyerahkan hak untuk mentadbir daerah dan mengutip cukai kepada pembesar. Tetapi, selepas kedatangan British, kuasa Sultan menjadi terhad dan hanya boleh menyentuh hal mengenai adat istiadat Melayu dan hal keagamaan sahaja. Hal ini kerana sistem pentadbiran baru yang diperkenalkan oleh British iaitu sistem Residen. Sistem Residen ini adalah satu bentuk pentadbiran yang dinamakan sistem pemerintahan tidak langsung di Negeri-Negeri Melayu ini kerana Sultan terpaksa menerima seorang Residen Inggeris yang akan menasihati baginda dalam semua hal pentadbiran kecuali adat istiadat dan hal keagamaan. Namun, hakikatnya pentadbiran negeri terletak di tangan Residen dan mereka bertindak atas nama Sultan-Sultan Melayu. Sultan tidak lagi mempunyai kuasa pentadbiran kerana semua di bawah kawalan Residen British dan Sultan mestilah menerima nasihat Residen British dalam semua perkara. Antara contoh Residen Inggeris ialah J.G. Davidson yang merupakan Residen Inggeris pertama yang dilantik di Selangor. Di era British, perlantikan seorang Sultan dilakukan oleh British mengikut kehendak mereka. Misalnya perlantikan Sultan Perak pada 1920, British telah mengharamkan perlantikan keturunan Raja Chulan akibat peristiwa pembunuhan Residen British iaitu J.W.W. Birch. Elemen perlantikan telah djalankan secara difaktor iaitu perlantikan telah beralih kepada Brtish.

 

 

Sosial

            Adat istiadat merupakan elemen yang amat penting bagi golongan atasan. Sebelum kedatangan British, terdapat upacara mengadap Sultan yang penuh dengan adat dan istiadat dan dilakukan di Balairong. Dalam upacara ini, rakyat dapat melihat ketinggian kedudukan seorang Sultan dan mempertontonkan hubungan pembesar dengan rakyat. Istiadat mengadap raja ini diraikan dengan penuh meriah. Sultan berpakaian serba lengkap, berwarna kuning kerana warna kuning ialah warna diraja, warna untuk pakaian rasmi dan peralatan istana. Alat-alat kebesaran turut tersergam semasa upacara berlangsung seperti ketur, kendi, tombak berambu dan lain-lain. Alat-alat kebesaran ini hanya boleh digunakan di istana sahaja. Terdapat juga barang yang menjadi lambang kebesaran seperti lembing, cap mohor, keris, payung, dan kendi yang digunakan unuk memperlihatkan kekuasaan baginda. Selepas kedatangan British, adat mempertontonkan kedudukan pembesar tidak lagi diamalkan dan fungsi balai telah hilang. Upacara penganugerahan juga hanya dijalankan di istana. Sultan tidak lagi dilindungi dengan adat istiadat yang meninggikan dirinya. Rakyat pula hanya keluar dan pergi ke majlis tersebut sebagai tanda hormat.

 

Ekonomi

            Sebelum kedatangan British, Sultan atau Yang Dipertuan pada zaman tradisional amat bergantung kepada para pembesar untuk memberikan pendapatan melalui 1/10 yang diberikan oleh rakyat kepada Sultan. Selepas kedatangan British, sistem Residen telah mengawal dan mengambil alih cukai tradisional. Sultan telah diberikan pendapatan tetap. Pendapatan Sultan telah termasuk dalam senarai bulanan British dan pendapatan baginda telah ditetapkan. Pendapatan Sultan juga bergantung pada kedudukan ekonomi dan kekayaan negeri. Monopoli Sultan dalam cukai candu, garam dan tembakau juga telah dihapuskan selepas kedatangan British. Contohnya, pada tahun 1890-1895, Swettenham telah berkali-kali dikunjungi oleh Sultan Idris meminta agar pendapatan baginda dinaikkan dan Swettenham berasa simpati namun beliau tidak mempunyai kuasa kerana keputusan terletak ditangan Gabenor Negeri-Negeri Selat. Sebagai langkah untuk menenangkan Sultan Idris, beliau memberi konsesi bijih timah di Kampar, Perak kepada Sultan Idris.

Gaya Hidup Sultan

            Sebelum kedatangan British, Sultan sering beriadah bersama rakyat dengan menyabung ayam. Sultan juga gemar memburu dan lazimnya akan membawa pengikut seramai kira-kira 40 orang semasa memburu. Selepas kedatangan British, telah berlaku perubahan dalam gaya hidup Sultan. Sultan lebih banyak berada di dalam istana dan hanya hadir dalam upacara-upacara rasmi sahaja. Pengkelasan ini dilakukan oleh British adalah bertujuan memisahkan kedudukan Sultan dan rakyat. Aktiviti sabung ayam dan berburu telah digantikan dengan permainan seperti polo, golf dan lawn tenis. Hal ini berlaku kerana wujudnya pertemuan dengan dunia eropah yang membawa kepada perubahan sosial. Sebagai contoh, Sultan telah mula memakai kot semasa menghadiri upacara rasmi.

Hubungan Sultan Dengan Pembesar

            Sebelum kedatangan British, hubungan Sultan dengan pembesar amat rapat. Hal ini dapat dilihat dalam adat mempertontonkan kedudukan pembesar yang dilakukan dengan penuh adat dan istiadat. Pembesar akan dilantik menerusi sepucuk surat tauliah dan dengan pemberian sebilah pedang sebagai lambang jawatannya. Kedudukan pembesar disisi Sultan begitu tinggi. Kunci kepada sistem politik ialah pembesar. Pembesar bertanggungjawab sebagai pengantar diantara Sultan dengan rakyat. Peranan pembesar meliputi politik, ekonomi dan sosial. Pembesar bertanggungjawab terhadap raja sama ada dalam aspek menyediakan tenaga kerja, menyelesaikan perselisihan antara rakyat, menjaga keamanan dan keselamatan, pelaksanaan hukuman, mempunyai hak untuk mengutip cukai daripada rakyat dan membekalkan tenaga tentera. Pembesar-pembesar memperolehi pendapatan melalui aktiviti perlombongan dan cukai. Sultan bergantung kepada pembesar untuk mendapatkan pendapatan. Dalam hal ini, rakyat, pembesar dan Sultan saling bergantung. Rakyat akan memberikan 1/10 hasil kepada pembesar, manakala pembesar pula akan memberikan 1/10 hasil yang diterimanya dari rakyat kepada Sultan. Kehilangan hak mengutip cukai oleh pembesar juga telah menyebabkan Sultan tidak dapat bergantung kepada pembesar lagi untuk mendapatkan pendapatan selepas kedatangan British.

Selepas kedatangan British, banyak perkara yang telah berubah. Adat mempertontonkan kedudukan pembesar tidak lagi diamalkan di balairong dan menyebabkan hubungan diantara Sultan dengan pembesar semakin renggang. Hal ini berlaku kerana British tidak mahu Sultan bergantung kepada pembesar sebaliknya mahukan Sultan bergantung kepada British. Pembesar juga tidak lagi mempunyai hak untuk memilih pengganti Sultan. Hubungan pembesar dengan Sultan hanya dihadkan kepada persidangan majlis yang membincangkan tentang hubungan luar dan peristiwa istiadat seperti pertabalan. Persidangan juga dilakukan dalam meja bulat. Hubungan Sultan dengan pembesar tidak akan sama seperti di era tradisional kerana pembesar-pembesar ini dipilih oleh Brtitsh. Walaupun gelaran ini masih kekal, namun fungsinya sudah tidak sama. Pembesar yang dipilih sebagai pegawai British akan dilantik dalam Majlis Mesyuarat Negeri. Pembesar ini bertanggungjawab terhadap Residen British dan bukannya lagi terhadap Sultan. Residen pula akan berbincang dengan Sultan dalam Majlis Mesyuarat Negeri menyebabkan Sultan tidak dapat mengetahui perkembangan negerinya.

Hubungan Sultan Dengan Rakyat

            Sebelum kedatangan British, rakyat amat bergantung kepada Sultan untuk mendapatkan hak milik tanah, tentera, cukai, laksanakan hukuman dan boleh mendapatkan pengampunan dari Sultan. Rakyat  juga akan diarahkan untuk menyumbang tenaga kerja secara percuma kepada pemerintahan melalui sistem kerah. Mereka juga dikehendaki untuk menyerahkan sebahagian hasil tanaman mereka kepada pemerintah dan membayar cukai yang ditetapkan atas pemilikan tertentu. Pada waktu itu, Sultan memberi perlindungan sosial kepada rakyat kerana kuasa untuk menjatuhkan hukuman dan pengampunan terletak ditangan Sultan. Sultan juga wajib mengekalkan keamanan dan kesejahteraan wilayah.   

            Selepas kedatangan British, kebergantungan rakyat semakin berkurangan dan hubungan Sultan dengan rakyat semakin renggang. Hal ini berlaku kerana, Sultan tidak lagi berfungsi sebagai pelindung kepada rakyat. Kes jenayah akan dirujuk kepada balai polis. Hakim dan majistret British juga telah mengambil alih peranan Sultan dalam mengadili kes jenayah dan sivil rakyat tempatan. Sistem kehakiman digubal berdasarkan undang-undang jenayah British dengankeputusan muktamad terletak di tangan majistret dan Residen.  Dalam proses pemilikan tanah pula, rakyat perlu ke pejabat tanah untuk memohon hak milik dan cukai tanah akan dikenakan.

Suasana perlindungan oleh Sultan tidak diperlukan lagi. Ciri kebergantungan ditarik satu persatu dan hubungan antara Sultan dan rakyat juga disekat oleh pihak British. Walaupun hubungan Sultan dengan rakyat semakin renggang, namun terdapat hubungan sulit di antara Sultan dengan rakyat di negeri-negeri tertentu. Hal ini adalah untuk Sultan mengetahui perkembangan negerinya melalui individu yang dilantik secara rahsia. Individu yang dilantik adalah dari kalangan rakyat biasa dan bukannya pembesar. Kebiasaannya dipilih dari golongan Jawi Peranakan kerana mahir dalam pelbagai bahasa seperti Jawa, Inggeris, Melayu dan Tamil. Mereka juga menjalankan kegiatan secara rahsia.

Kesimpulan

Kesimpulannya, dapatlah dilihat bahawa dalam stratifikasi sosial masyarakat Melayu, kedudukan Sultan atau Yang Dipertuan masih lagi berada di kemuncak walaupun semasa perluasan British di negeri-negeri Melayu. British telah mengukuhkan lagi kedudukan Sultan dalam stratifikasi sosial masyarakat Melayu untuk menjaga dan memastikan rakyat jelata tidak memberontak dan bangkit menentang pihak British. Hal ini kerana bagi masyarakat Melayu, Sultan merupakan lambang perpaduan dan lambang kesatuan dalam masyarakat. Namun, perluasan kuasa yang dilakukan oleh pihak British telah menyebabkan kuasa Sultan telah mengalami perubahan dari segi politik, sosial dan ekonomi. Bidang kuasa Sultan dan pembesar sangat terbatas seperti mereka tidak diberikan hak untuk menggunakan kekuatan dan kuasa untuk memungut cukai, dan mereka terpaksa mengikut undang-undang British. Peranan Sultan atau Yang Dipertuan telah terjejas dan dibentuk mengikut acuan dan rancangan British sehinggakan Sultan atau Yang Dipertuan telah dianggap sebagai boneka ketika zaman pemerintahan British di Tanah Melayu.

Perjalanan mengejar cita (Guru Interim)

 Fuhhh....lama tidak menulis dek kerana kesibukan mengejar urusan dunia.

ok tak nak mukadimah panjang-panjang huhu, kali ni saja nak kongsi perjalanan sebelum bergelar sebagai guru INTERIM. 

Permohonan GURU INTERIM pada tahun 2019 masa ni tahun terakhir sebagai pelajar MASTER di UPSI. Tidak terdetik langsung akan mendapat rezeki sebesar ini Alhamdulillah. Link permohonan GURU INTERIM kalu saya tidak silap hanya buka seminggu sahaja, alang-alang sudah habis belajar jadi saja isi tapi tidaklah meletakkan harapan yang tinggi. Memandangkan pada waktu tersebut sudah selesa bergelar sebagai pekerja dalam sektor swasta hehehhe...

Ok, lepas selesai submit permohonan dalam seminggu macam tu keluar lah senarai nama yang permohon yang berjaya menduduki ujian UKCG (Ujian Kelayakan Calon Guru) . Walaupun tidak meletakkan harapan yang tinggi tapi rasa berdebar tu ada juga. Lepas baca segala doa saya pon beranikan diri untuk periksa dan Alhamdulillah nama tersenarai. 

Maka keluarlah satu tarikh dan surat yang mengarahkan calon untuk menduduki ujian tersebut. Oleh kerana saya memilih Sabah sebagai lokasi mengajar maka saya perlu menduduki ujian tersebut di negeri yang dipilih. Bermula lah perjalanan penuh dramatik kerana saya pada waktu tersebut bekerja di Kuala Lumpur. Jadi terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang. Ermm tapi xapalah smoga pengorbanan ini berbaloi, detik dalam hati supaya diri sentiasa positif. 

UKCG - Jangan risaw soalan umum dan bukan berfakta, ianya lebih kepda ujian personaliti dan jawab sahaja dengan JUJUR In Shaa Allah semuanya akan ok. Tips, masa ujian dengaralah arahan yang diberikan kerna jika tidak kelayakkan anda kemungkinan akan di tarik balik. (Berlaku depan mata saya sendiri kertas ujian calon di rampas kerana tidak mendengar arahan yang diberi) jadi pless ikut arahan ok.

Dalam 2 minggu macam tu nama calon yang lulus ujian kelayakan pon keluar dan Alhamdulillah sekali lagi saya berjaya...syukur sangat. Sekali lagi pusat temuduga diadakan di Sabah (IPG Gaya) Kota Kinabalu. Time tu tengah rush nak submit Thesis pulk memang bergerak pantas dengan kerja company lagi....Fuhhh.

Temuduga - Ok untuk temuduga kita akan dibahagikan kepada kumpulan (1 kumpulan 5 orang) dan semasa proses temuduga buatlah persiapan. Persiapan paling penting adalah latihan mengajar (rancang tajuk, bahan bantu mengajar, buat latihan mengajar depan cermin) tujuannya agar kita tidak gementar di hadapan kawan2 dan penemuduga. Walaupun tidak diminta untuk menyediakan RPH (Rancangan Pengajaran Harian) tapi In Shaa Allah usaha yang lebih pasti akan dilihat. Ok dalam bilik nanti selain mengajar kita akan di tanya perkara berkaitan dengan isu semasa. Soalan yang ditanya secara bergilir-gilir dan ada juga secara sukarela. Jadi anda mesti menjadi orang yang aktif bercakap dan melontarkan idea atau pendapat. Perkara paling penting apabila di tanya mengenai penglibatan sukan, seminar atau jawatan semasa belajar, sebutkan semua penglibatan anda kerana dalam bilik temuduga kita tidak membawa sijil-siji jadi penemuduga tidak mengetahui seaktif mana kita semasa di Unversiti.

Tips: Sebelum masuk bilik temuduga pastikan anda cukup bertenang agar mendapat keberanian dan idea-idea senang keluar. Jnagan gementar dan hanya fikir untuk buat yang terbaik. 

Selepas proses temuduga, menunggu dalam 2 minggu macam tu senarai nama yang berjaya pon keluar. Sekali lagi syukur sangan sebab nama tersenarai. Nampak tak pengorbanan tu walaupun org lain tidak nampak tapi Tuhan Maha Mengetahui. Bayangkan ulang alik KL-KK dalam masa yang sama rush nak submit projek akhir dan kerja audit company...fuhh memang kepala macam nak pecah dan penat tu jangan cakaplah sampaikan kena tido di surau airport ( KK) seorang diri dengan suasana sunyi. Sepanjang proses tu memang banyak berserah kepada-Nya. Alhamdulillah walaupun posting lambat di sebabkan COVID tapi syukurlah sekarang sudh lebih kurang 6 bulan mengajar. 

 Untuk yang tengah berjuang teruskan jangan berputus asa dan rebutlah setiap peluang yang ada, semoga yang membaca dipermudahkan segala urusan dan dapat mencapai segala impian dengan izin-Nya Ameennn...






Reading

SISTEM KESIHATAN DI ERA PENJAJAHAN BRITISH

  Pendahuluan             Kedatangan pihak penjajah sememangnya telah membawa maksud perubahan dalam asepk politik, skonomi dan social d...