Friday 23 October 2020

Kedudukan Sultan Selepas Kedatangan British

 

Pengenalan

            Stratifikasi sosial merupakan pembahagian anggota masyarakat kepada beberapa strata atau lapisan sosial yang disusun dalam satu hierarki kedudukan. Stratifikasi sosial meletakkan seseorang pada kedudukan dan peranan yang dimainkan dalam masyarakat. Lapisan-lapisan ini tidak sama atau tidak setaraf dari segi kuasa, kekayaan, gaya hidup, tanggungjawab dan sebagainya. Dalam sistem pentadbiran kerajaan Melayu, dapat dilihat bahawa telah wujud dua bahagian iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah secara amnya terdiri daripada kerabat diraja dan Sultan sebagai kuasa tertinggi, manakala golongan diperintah pula terdiri dari rakyat jelata. Kemasukan Brirish ke tanah Melayu dikatakan telah menjejaskan stratifikasi sosial di Tanah Melayu terutamanya dalam membabitkan kedudukan Sultan atau Yang Dipertuan. Sebenarnya, kedudukan Sultan telah diperteguhkan lagi dalam stratifikasi sosial masyarakat Melayu tradisional semasa kedatangan British. Hal ini dapat dilihat dimana British masih mengekalkan kedudukan Sultan atau Yang Dipertuan dalam sistem pemerintahannya disebabkan oleh sebab-sebab tertentu. Walaupun kedudukannya semakin diperteguh, namun fungsi dan kuasa Sultan telah berkurangan dan Sultan telah dianggap sebagai boneka ketika zaman pemerintahan British di Tanah Melayu.

Kedudukan Sultan Dalam Era Tradisional

            Sultan atau Yang Dipertuan mempunyai kedudukan yang tertinggi dalam hierarki sosial masyarakat melayu dan berkuasa penuh dalam unit politik yang terbesar iaitu negeri dan juga tanah jajahan takluknya. Sultan juga dianggap sebagai lambang atau simbol perpaduan masyarakat Melayu. Sultan berperanan penting dalam tiga aspek utama iaitu politik, sosial dan ekonomi. Peranan Sultan adalah sebagai ketua kerajaan yang memerintah secara mutlak dan dibantu oleh pembesar yang bertindak sebagai penasihat. Sultan juga merupakan wakil negeri dalam hal ehwal negeri dan pertahanan disamping menjadi lambang kesatuan atau kebesaran negeri. Sultan merupakan pemimpin utama angkatan tentera di mana baginda akan mengetuai angkatan tentera bagi mempertahankan negeri dan meluaskan jajahan takluknya. Baginda juga bertindak sebagai penyelesai masalah rakyat dengan menjalankan pemerintahan dan hukuman yang adil kepada rakyat.

            Martabat Sultan disokong oleh konsep kesucian dan kekuatan luar biasa. Martabat Sultan dipertontonkan kepada rakyat dalam proses menjadi seorang Sultan dalam sebuah upacara di dalam sebuah negeri. Kedudukan Sultan ini diperkukuhkan lagi dengan adanya konsep daulat dan derhaka yang sangat digeruni oleh rakyat pada ketika itu. Dengan adanya konsep ini, rakyat akan memberikan taat setianya terhadap Sultan. Oleh kerana rasa patuh dan taat setia kepada Sultan, telah munculnya satu amalan berkenaan sistem hamba dan kerahan dalam kalangan masyarakat Melayu. Sultan berhak mendapat perkhidmatan percuma daripada hamba abdi, orang berhutang dan rakyat jelata yang dikerah bekerja pada bila-bila masa sahaja. Sultan juga memiliki cop mohor sebagai lambang kekuasaannya dan mempunyai sumber ekonomi yang banyak. Sultan memperoleh kekayaan daripada pelbagai sumber, antaranya cukai-cukai tanah, ternakan, tanaman, perdagangan, ufti daripada jajahan takluknya, royalty, hadiah daripada pedagang luar dan denda membuat kesalahan.

Kedudukan Sultan Selepas Kedatangan British

            Selepas kedatangan British, telah berlaku perubahan terhadap stratifikasi sosial masyarakat Melayu. Setiap negeri Melayu kecuali Pulau Pinang dan Melaka, Sultan masih merupakan pemerintah tertinggi dan simbol kesatuan tetapi kuasa politik dan ekonominya banyak dikurangkan. Kedatangan British telah mengukuhkan lagi kedudukan Sultan dalam stratifikasi sosial masyarakat Melayu. Sultan masih berada di kemuncak pemerintahan malah diperkuatkan lagi kedudukannya oleh British. British hanya berkuasa dari segi hubungan luar bagi Negeri-negeri Melayu yang bukan jajahan British. Sebagai negeri lindungan, kedaulatan sesebuah negara masih kekal ditangan Sultan atau yang Dipertuan. Sultan penting untuk dipelihara dan dijaga kedudukannya. Pengaruh Sultan penting sebagai alat menumpukan taat setia rakyat kepada kerajaan. Unsur pengaruh ini dilihat penting kepada pihak British dan ia harus diperteguhkan. British mempertahankan kedudukan Sultan supaya berada dia atas stratifikasi sosial dengan mengambil peranan eksekutif. Kuasa politik terletak di tangan pegawai tadbir British khasnya Residen. Pentadbiran Negara dikendalikan oleh Kerajaan Negeri di bawah kawalan British dan Kerajaan Negeri yang berhak mengutip cukai untuk membiayai urusan pentadbiran. Peranan pembesar telah ditarik satu persatu dan peranan ini diisi dengan birokrasi British. Umumnya, dapat dikatakan bahawa, sistem pendtabiran ataupun organisasi sosial masyarakat Melayu tradisional telah digantikan dengan organisasi yang lebih birokratik. Stratifikasi inilah yang mendokong Sultan terus berada di kemuncak.

Perkara Yang Terjejas Selepas Kedatangan British

Politik

            Sebelum kedatangan British, Sultan berkuasa mutlak untuk memerintah dan menguruskan hal-hal pentadbiran negara serta menyerahkan hak untuk mentadbir daerah dan mengutip cukai kepada pembesar. Tetapi, selepas kedatangan British, kuasa Sultan menjadi terhad dan hanya boleh menyentuh hal mengenai adat istiadat Melayu dan hal keagamaan sahaja. Hal ini kerana sistem pentadbiran baru yang diperkenalkan oleh British iaitu sistem Residen. Sistem Residen ini adalah satu bentuk pentadbiran yang dinamakan sistem pemerintahan tidak langsung di Negeri-Negeri Melayu ini kerana Sultan terpaksa menerima seorang Residen Inggeris yang akan menasihati baginda dalam semua hal pentadbiran kecuali adat istiadat dan hal keagamaan. Namun, hakikatnya pentadbiran negeri terletak di tangan Residen dan mereka bertindak atas nama Sultan-Sultan Melayu. Sultan tidak lagi mempunyai kuasa pentadbiran kerana semua di bawah kawalan Residen British dan Sultan mestilah menerima nasihat Residen British dalam semua perkara. Antara contoh Residen Inggeris ialah J.G. Davidson yang merupakan Residen Inggeris pertama yang dilantik di Selangor. Di era British, perlantikan seorang Sultan dilakukan oleh British mengikut kehendak mereka. Misalnya perlantikan Sultan Perak pada 1920, British telah mengharamkan perlantikan keturunan Raja Chulan akibat peristiwa pembunuhan Residen British iaitu J.W.W. Birch. Elemen perlantikan telah djalankan secara difaktor iaitu perlantikan telah beralih kepada Brtish.

 

 

Sosial

            Adat istiadat merupakan elemen yang amat penting bagi golongan atasan. Sebelum kedatangan British, terdapat upacara mengadap Sultan yang penuh dengan adat dan istiadat dan dilakukan di Balairong. Dalam upacara ini, rakyat dapat melihat ketinggian kedudukan seorang Sultan dan mempertontonkan hubungan pembesar dengan rakyat. Istiadat mengadap raja ini diraikan dengan penuh meriah. Sultan berpakaian serba lengkap, berwarna kuning kerana warna kuning ialah warna diraja, warna untuk pakaian rasmi dan peralatan istana. Alat-alat kebesaran turut tersergam semasa upacara berlangsung seperti ketur, kendi, tombak berambu dan lain-lain. Alat-alat kebesaran ini hanya boleh digunakan di istana sahaja. Terdapat juga barang yang menjadi lambang kebesaran seperti lembing, cap mohor, keris, payung, dan kendi yang digunakan unuk memperlihatkan kekuasaan baginda. Selepas kedatangan British, adat mempertontonkan kedudukan pembesar tidak lagi diamalkan dan fungsi balai telah hilang. Upacara penganugerahan juga hanya dijalankan di istana. Sultan tidak lagi dilindungi dengan adat istiadat yang meninggikan dirinya. Rakyat pula hanya keluar dan pergi ke majlis tersebut sebagai tanda hormat.

 

Ekonomi

            Sebelum kedatangan British, Sultan atau Yang Dipertuan pada zaman tradisional amat bergantung kepada para pembesar untuk memberikan pendapatan melalui 1/10 yang diberikan oleh rakyat kepada Sultan. Selepas kedatangan British, sistem Residen telah mengawal dan mengambil alih cukai tradisional. Sultan telah diberikan pendapatan tetap. Pendapatan Sultan telah termasuk dalam senarai bulanan British dan pendapatan baginda telah ditetapkan. Pendapatan Sultan juga bergantung pada kedudukan ekonomi dan kekayaan negeri. Monopoli Sultan dalam cukai candu, garam dan tembakau juga telah dihapuskan selepas kedatangan British. Contohnya, pada tahun 1890-1895, Swettenham telah berkali-kali dikunjungi oleh Sultan Idris meminta agar pendapatan baginda dinaikkan dan Swettenham berasa simpati namun beliau tidak mempunyai kuasa kerana keputusan terletak ditangan Gabenor Negeri-Negeri Selat. Sebagai langkah untuk menenangkan Sultan Idris, beliau memberi konsesi bijih timah di Kampar, Perak kepada Sultan Idris.

Gaya Hidup Sultan

            Sebelum kedatangan British, Sultan sering beriadah bersama rakyat dengan menyabung ayam. Sultan juga gemar memburu dan lazimnya akan membawa pengikut seramai kira-kira 40 orang semasa memburu. Selepas kedatangan British, telah berlaku perubahan dalam gaya hidup Sultan. Sultan lebih banyak berada di dalam istana dan hanya hadir dalam upacara-upacara rasmi sahaja. Pengkelasan ini dilakukan oleh British adalah bertujuan memisahkan kedudukan Sultan dan rakyat. Aktiviti sabung ayam dan berburu telah digantikan dengan permainan seperti polo, golf dan lawn tenis. Hal ini berlaku kerana wujudnya pertemuan dengan dunia eropah yang membawa kepada perubahan sosial. Sebagai contoh, Sultan telah mula memakai kot semasa menghadiri upacara rasmi.

Hubungan Sultan Dengan Pembesar

            Sebelum kedatangan British, hubungan Sultan dengan pembesar amat rapat. Hal ini dapat dilihat dalam adat mempertontonkan kedudukan pembesar yang dilakukan dengan penuh adat dan istiadat. Pembesar akan dilantik menerusi sepucuk surat tauliah dan dengan pemberian sebilah pedang sebagai lambang jawatannya. Kedudukan pembesar disisi Sultan begitu tinggi. Kunci kepada sistem politik ialah pembesar. Pembesar bertanggungjawab sebagai pengantar diantara Sultan dengan rakyat. Peranan pembesar meliputi politik, ekonomi dan sosial. Pembesar bertanggungjawab terhadap raja sama ada dalam aspek menyediakan tenaga kerja, menyelesaikan perselisihan antara rakyat, menjaga keamanan dan keselamatan, pelaksanaan hukuman, mempunyai hak untuk mengutip cukai daripada rakyat dan membekalkan tenaga tentera. Pembesar-pembesar memperolehi pendapatan melalui aktiviti perlombongan dan cukai. Sultan bergantung kepada pembesar untuk mendapatkan pendapatan. Dalam hal ini, rakyat, pembesar dan Sultan saling bergantung. Rakyat akan memberikan 1/10 hasil kepada pembesar, manakala pembesar pula akan memberikan 1/10 hasil yang diterimanya dari rakyat kepada Sultan. Kehilangan hak mengutip cukai oleh pembesar juga telah menyebabkan Sultan tidak dapat bergantung kepada pembesar lagi untuk mendapatkan pendapatan selepas kedatangan British.

Selepas kedatangan British, banyak perkara yang telah berubah. Adat mempertontonkan kedudukan pembesar tidak lagi diamalkan di balairong dan menyebabkan hubungan diantara Sultan dengan pembesar semakin renggang. Hal ini berlaku kerana British tidak mahu Sultan bergantung kepada pembesar sebaliknya mahukan Sultan bergantung kepada British. Pembesar juga tidak lagi mempunyai hak untuk memilih pengganti Sultan. Hubungan pembesar dengan Sultan hanya dihadkan kepada persidangan majlis yang membincangkan tentang hubungan luar dan peristiwa istiadat seperti pertabalan. Persidangan juga dilakukan dalam meja bulat. Hubungan Sultan dengan pembesar tidak akan sama seperti di era tradisional kerana pembesar-pembesar ini dipilih oleh Brtitsh. Walaupun gelaran ini masih kekal, namun fungsinya sudah tidak sama. Pembesar yang dipilih sebagai pegawai British akan dilantik dalam Majlis Mesyuarat Negeri. Pembesar ini bertanggungjawab terhadap Residen British dan bukannya lagi terhadap Sultan. Residen pula akan berbincang dengan Sultan dalam Majlis Mesyuarat Negeri menyebabkan Sultan tidak dapat mengetahui perkembangan negerinya.

Hubungan Sultan Dengan Rakyat

            Sebelum kedatangan British, rakyat amat bergantung kepada Sultan untuk mendapatkan hak milik tanah, tentera, cukai, laksanakan hukuman dan boleh mendapatkan pengampunan dari Sultan. Rakyat  juga akan diarahkan untuk menyumbang tenaga kerja secara percuma kepada pemerintahan melalui sistem kerah. Mereka juga dikehendaki untuk menyerahkan sebahagian hasil tanaman mereka kepada pemerintah dan membayar cukai yang ditetapkan atas pemilikan tertentu. Pada waktu itu, Sultan memberi perlindungan sosial kepada rakyat kerana kuasa untuk menjatuhkan hukuman dan pengampunan terletak ditangan Sultan. Sultan juga wajib mengekalkan keamanan dan kesejahteraan wilayah.   

            Selepas kedatangan British, kebergantungan rakyat semakin berkurangan dan hubungan Sultan dengan rakyat semakin renggang. Hal ini berlaku kerana, Sultan tidak lagi berfungsi sebagai pelindung kepada rakyat. Kes jenayah akan dirujuk kepada balai polis. Hakim dan majistret British juga telah mengambil alih peranan Sultan dalam mengadili kes jenayah dan sivil rakyat tempatan. Sistem kehakiman digubal berdasarkan undang-undang jenayah British dengankeputusan muktamad terletak di tangan majistret dan Residen.  Dalam proses pemilikan tanah pula, rakyat perlu ke pejabat tanah untuk memohon hak milik dan cukai tanah akan dikenakan.

Suasana perlindungan oleh Sultan tidak diperlukan lagi. Ciri kebergantungan ditarik satu persatu dan hubungan antara Sultan dan rakyat juga disekat oleh pihak British. Walaupun hubungan Sultan dengan rakyat semakin renggang, namun terdapat hubungan sulit di antara Sultan dengan rakyat di negeri-negeri tertentu. Hal ini adalah untuk Sultan mengetahui perkembangan negerinya melalui individu yang dilantik secara rahsia. Individu yang dilantik adalah dari kalangan rakyat biasa dan bukannya pembesar. Kebiasaannya dipilih dari golongan Jawi Peranakan kerana mahir dalam pelbagai bahasa seperti Jawa, Inggeris, Melayu dan Tamil. Mereka juga menjalankan kegiatan secara rahsia.

Kesimpulan

Kesimpulannya, dapatlah dilihat bahawa dalam stratifikasi sosial masyarakat Melayu, kedudukan Sultan atau Yang Dipertuan masih lagi berada di kemuncak walaupun semasa perluasan British di negeri-negeri Melayu. British telah mengukuhkan lagi kedudukan Sultan dalam stratifikasi sosial masyarakat Melayu untuk menjaga dan memastikan rakyat jelata tidak memberontak dan bangkit menentang pihak British. Hal ini kerana bagi masyarakat Melayu, Sultan merupakan lambang perpaduan dan lambang kesatuan dalam masyarakat. Namun, perluasan kuasa yang dilakukan oleh pihak British telah menyebabkan kuasa Sultan telah mengalami perubahan dari segi politik, sosial dan ekonomi. Bidang kuasa Sultan dan pembesar sangat terbatas seperti mereka tidak diberikan hak untuk menggunakan kekuatan dan kuasa untuk memungut cukai, dan mereka terpaksa mengikut undang-undang British. Peranan Sultan atau Yang Dipertuan telah terjejas dan dibentuk mengikut acuan dan rancangan British sehinggakan Sultan atau Yang Dipertuan telah dianggap sebagai boneka ketika zaman pemerintahan British di Tanah Melayu.

No comments:

Post a Comment

Reading

SISTEM KESIHATAN DI ERA PENJAJAHAN BRITISH

  Pendahuluan             Kedatangan pihak penjajah sememangnya telah membawa maksud perubahan dalam asepk politik, skonomi dan social d...