Era Pemerintahan Tawi
Sli 1966-1969
SNAP Keluar Daripada
Parti Perikatan
Era pemerintahan Penghulu Tawi Sli banyak
dipengaruhi oleh parti Melayu dan beliau tidak mempunyai kuasa sebenarnya. Abdul
Taib Mahmud iaitu salah seorang ahli parti BARJASA merupakan orang yang paling
berpengaruh dalam kerajaan Sarawak semasa Tawi Sli menjadi Ketua Menteri
Sarawak. Kenaikan
Tawi Sli menjadi ketua negeri telah membawa beberapa perubahan kepada corak
politik Sarawak iaitu kemasukan SNAP ke barisan parti pembangkang. SNAP telah
mengambil keputusan untuk menyertai parti SUPP. Hal
ini, meningkatkan lagi cabaran dan tekanan kepada kerajaan. Jika dibandingkan
SNAP dan PESAKA, SNAP lebih popular begitu juga dengan SUPP lebih popular
berbanding SCA. Kaum Cina turut memberi
sokongan terhadap SNAP kerana isu pindaan undang-undang tanah gagal
dilaksanakan seperti yang dibincangkan semasa pemerintahan Stephen Kalong
Ningkan. Walaupun SNAP di barisan pembangkang namun sokongan penduduk Dayak
masih kukuh, bagaimanapun sokongan yang diperolehi oleh SNAP tidak berjaya
membawa parti itu menerajui kerajaan Sarawak.
Pembentukkan Parti
Bumiputera Dan Penguasaan Bumiputera Islam
Dan pada zaman ini juga dilihat orang Melayu mula
berusaha memperkukuhkan kekuasaan mereka dalam politik Sarawak. Dua parti
Melayu iaitu PANAS dan BARJASA telah bergabung membentuk parti BUMIPUTERA.
Gabungan ini dilakukan pada Disember 1966. Abdul Taib Mahmud merupakan tokoh
yang memainkan peranan penting dalam proses penubuhan parti BUMIPUTERA. Kejayaan
membentuk parti BUMIPUTERA merupakan satu usaha bagi mengatasi masalah
perpecahan dalam kalangan orang Melayu Sarawak di samping memperlihatkan
kebangkitan kaum peribumi Islam. Ini secara tidak langsung memperkukuhkan orang
Melayu dalam politik Sarawak. Abdul
Taib Mahmud dan Abdul Rahman Yaakob sangat berpengaruh dalam kerajaan
Perikatan. Sehingga akhirnya pemimpin dari parti Bumiputera itu berjaya
dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak iaitu Abdul Rahman Yaakob pada tahun
1970. Merupakan Ketua Menteri ke tiga Sarawak. Parti BUMIPUTERA ini pernah
bergabung dengan parti perikatan Sarawak menjelang penubuhan Malaysia namun
pada saat-saat akhir PANAS keluar. PANAS menyertai kerajaan sekali lagi pada
tahun 1966 melalui pengabungan parti Melayu iaitu Barjasa. Gabungan dua parti
Melayu ini telah memperkukuhkan kuasa orang Melayu di Sarawak dalam politik
Sarawak semakin kukuh.
Tahap Ketiga Abdul
Rahman Yaakob (1970-1980)
Tahun 1970 merupakan tahun yang penting kerana
Sarawak memasuki satu era politik yang baru. Beberapa perkara penting telah
berlaku dalam sejarah Sarawak iaitu penyatuan politik, kenaikkan hegemoni orang
Melayu ataupun penguasaan orang Melayu dalam politik Sarawak. Pada ketika itu
hegemoni orang Dayak tidak dapat dikekalkan baik di bawah Stephen Kalong
Ningkan mahupun di bawah Pengulu Tawi Sli. Hal ini, telah memberi ruang dan
peluang kepada kenaikkan hegemoni orang Melayu dalam penguasaan politik Sarawak
sehingga 1970 sehingga ke hari ini.
Pilihan Raya 1970
Pada tahun 1969 pilihan raya diadakan di Sarawak
serentak dengan di Semenanjung. Namun demikian kerana peristiwa 13 Mei 1969
pilihan raya ditangguhkan. Rusuhan kaum tidak berlaku di Sarawak tetapi
disebabkan Sabah dan Sarawak sebahagian daripada negeri dalam Malaysia maka
pilihan raya di Sarawak ditangguhkan. Sementara itu Majlis Gerakan turut
ditubuhkan di Sarawak untuk menjalankan pentadbiran sebagaimana di Semenanjung.
Di kerajaan pusat pada masa tersebut, selepas peristiwa 13 Mei telah berlaku
perubahan pucuk pimpinan daripada Tunku Abdul Rahman kepada Tun Abdul Razak. Tun
Abdul Razak mula merancang dan memperkenalkan dasar-dasar baru untuk Malaysia. Beliau
menggalakkan parti-parti lain untuk menjadi ahli perikatan di Semenanjung.
Dasar ini turut dilaksanakan di Sarawak. Di Sarawak pilihan raya yang ditangguh
kerana rusuhan kaum telah diadakan semula pada tahun 1970. Dan keputusan
pilihan raya menunjukkan SAP (parti perikatan Sarawak) mendapat kerusi mejoriti
dalam pilihan raya. SAP terdiri daripada parti BUMIPUTERA mendapat 12 kerusi,
PESAKA mendapat 8 kerusi, SCA 3 kerusi). Parti-parti pembangkang terdiri
daripada SNAP mendapat 12 kerusi, SUPP memperoleh 12 kerusi, kemudian calon
BEBAS mendapat 1 kerusi. Daripada
jumlah kerusi yang diperolehi dalam pilihan raya tersebut SAP yang layak
membentuk kerajaan kerana mendapat kerusi yang banyak iaitu sebanyak 23 buah
kerusi. Maka selepas pilihan raya Abdul Rahman Yaakob telah dilantik menjadi
ketua menteri Sarawak. Beliau merupakan daripada parti BUMIPUTERA. Dengan
kenaikkan Abdul Rahman Yaakob, bermulalah penguasaan orang Melayu dalam politik
dan pentadbiran Sarawak.
Kerajaan pusat pada masa itu berpendapat bahawa walaupun orang Melayu bukan
penduduk mejoriti di Sarawak tetapi mereka harus diberi tempat istimewa dalam
pentadbiran. Ini kerana pada tahun 1960-an, di bawah Stephen Kalong Ningkan
kerajaan pada masa itu tidak dapat melahirkan satu situasi yang memberi tempat
kepada orang Melayu dalam pentadbiran.
Gabungan Parti BUMIPUTERA Dan PESAKA
Melalui kenaikan Abdul Rahman Yaakob sebagai ketua
menteri telah mendapat sokongan yang kuat daripada kerajaan pusat. Selepas
kenaikkan Abdul Rahman Yaakob beberapa perubahan dan pembangunan telah
dilakukan oleh beliau dalam politik Sarawak. Antaranya beliau cuba mencapai
penyatuan politik Sarawak. Di Sarawak Tun Abdul Razak juga mencadangkan SAP
membawa penyertaan parti pembangkang ke dalam parti perikatan. SUPP dijemput
untuk menyertai SAP, orang Cina pada masa itu mula membuat keputusan dan
akhirnya SUPP bersetuju menyertai SAP pada tahun 1970 selepas pilihan raya. Abdul
Rahman Yaakob juga berusaha untuk menjalin kerjasama antara parti Melayu dengan
PESAKA, usaha ini berjaya dengan pembentukan parti PESAKA BUMIPUTERA BERSATU
pada tahun 1973.
Nama SAP ditukar kepada Barisan Nasional Sarawak menjelang pilihan raya pada
tahun 1974.
SUPP Dan SNAP Menyertai
Parti Perikatan
Seterusnya pada tahun 1976, parti SNAP iaitu sebuah
parti Dayak juga berjaya dibawa masuk ke dalam Barisan Nasional Sarawak. Dengan
itu, menjelang pilihan raya pada tahun 1979 sudah tidak terdapat parti
pembangkang di Sarawak kerana semua parti yang ada di Sarawak telah masuk ke
dalam Barisan Nasional Sarawak. SUPP bertindak menyertai parti perikatan
Sarawak
disebabkan beberapa perkara penting. Antara sebab pertama yang adalah kerana
parti SUPP telah dipelawa oleh Tun Abdul Razak untuk menyertai perikatan.
Sebelum keputusan pilihan raya tahun 1970 diumumkan, perundingan tidak rasmi
telah diadakan antara Tun Abdul Razak dengan pemimpin sederhana SUPP bagi
membincangkan kemasukkan parti SUPP ke dalam perikatan Sarawak. Di pihak
kerajaan persekutuan, penyertaan SUPP dalam kerajaan campuran Sarawak sangat
diperlukan kerana kerajaan mahu mewujudkan kestabilan politik di Sarawak bagi
memesatkan kemajuan ekonomi dan melawan pengaruh komunis yang semakin
berkembang di Sarawak. Di samping itu,
SUPP mengambil keputusan untuk menyertai perikatan disebabkan semasa SUPP
bertindak sebagai parti pembangkang banyak idea dan cadangan yang diketengahkan
oleh SUPP tidak dapat dilaksanakan. Hal ini kerana, seandainya kerajaan yang
memerintah memberikan perhatian kepada cadangan yang diketengahkan oleh SUPP
pada ketika itu sebagai parti pembangkang, sudah tentu pengaruh SUPP meningkat
dan menjejaskan pengaruh kerajaan perikatan. Tambahan
pula, pada masa yang sama SUPP juga menghadapi masalah perpecahan dalaman
parti, iaitu antara golongan sederhana dengan golongan pelampau yang prokomunis.
Golongan yang prokomunis pula berusaha untuk menjadikan SUPP sebuah parti
komunis dan menjadikan Sarawak sebagai negara Komunis.
SNAP bertindak menyertai pakatan Sarawak setelah
Abdul Rahman Yaakob bertindak berjumpa dengan Stephen Kalong Ningkan untuk
menjemput SNAP masuk ke dalam perikatan. Beberapa persetujuan dari segi prinsip
tentang penyertaan SNAP ka dalam perikatan telah dicapai.
Antaranya ialah Abdul Rahman Yaakob mencadangkan rancangan memberikan pencen
kepada bekas ketua menteri. Selain itu, James Wong iaitu Timbalan Presiden SNAP
dibebasakan daripada tahanan ISA.
Tambahan pula, dalam menghadapi pilihan raya 1974, satu persetujan telah dibuat
antara SNAP dengan parti pemerintah yang mengatakan PBB, SUPP dan SNAP
bersetuju untuk tidak meletakkan calon terbaik mereka menentang antara satu
sama. Selain
daripada melakukan penyatuan politik kerajaan Abdul Rahman Yaakob juga
mengambil berat terhadap aspek keselamatan dan juga pembangunan sosioekonomi di
negeri Sarawak sepanjang pentadbirannya.
Keselamatan Dipelihara
Dari segi keselamatan, keselamatan Sarawak pada
ketika itu iaitu ketika pentadbiran Abdul Rahman Yaakob beliau telah memberi
tawaran kepada komunis untuk menyerah diri dan kembali kepada masyarakat. Pada 16 September 1973, ketua pemimpin
komunis di Sarawak Bong Kee Chok telah keluar dari hutan untuk bertemu dengan
Abdul Rahman Yaakob di Semanggang iaitu di bahagian kedua Sarawak untuk
membincangkan bagaimana hendak membawa kumpulannya menyerah diri kepada
kerajaan. Berikutan peristiwa
tersebut operasi Sri Aman dilancarkan untuk menghapuskan semua komunis yang ada
di dalam hutan. Operasi ini diadakan
pada awal Mac 1974, operasi Sri Aman berjaya membawa kepada lebih 500 orang
komunis meletakkan senjata dan menyerah diri kepada kerajaan termasuklah ketua
komunis iaitu Bong Kee Chok. Maka di
bawah Abdul Rahman Yaakob keamanan dan ketenteraman negeri Sarawak lebih
terpelihara sedikit sebanyak membantu penduduk Sarawak daripada ancaman
komunis. Walaupun selepas operasi ini tidak bermakna tiada lagi komunis di
Sarawak, komunis masih ada di Sarawak tetapi dalam kumpulan yang kecil. Selain daripada aspek keselamatan, di
bawah pentadbiran Abdul Rahman Yaakob pengurusan tanah dan pertanian turut
diberi perhatian di mana pelbagai rancangan dan pembangunan tanah dan pertanian
dijalankan di negeri Sarawak. Antaranya seperti Rancangan Penanaman Kelapa
Sawit, tanaman getah dan koko dijalankan secara meluas di negeri Sarawak. Begitu juga, memajukan dasar-dasar dan
rancangan-rancangan ke arah pembangunan pembalakan. Aspek pendidikan juga tidak diabaikan oleh Abdul Rahman Yaakob
untuk menaik taraf pendidikan penduduk Sarawak. Yayasan Sarawak telah
ditubuhkan untuk memberi bantuan kepada golongan meskin untuk mendapatkan
pelajaran. Seperti menghantar pelajar Sarawak untuk melanjutkan pelajaran di
semenanjung dan juga menyediakan bantuan-bantuan biasiswa kepada anak-anak
negeri Sarawak. Kepimpinan Abdul Rahman Yaakob
diterima baik ulih rakyat Sarawak kerana telah membawa pembangunan kepada
Sarawak. Abdul Rahman Yaakob
seterusnya dilantik menjadi Yang Dipertuan Negeri Sarawak pada Ogos 1985 dan
jawatan ketua menteri Sarawak pula diambil alih oleh Abdul Taib Mahmud
iaitu anak saudara kepada Abdul Rahman Yaakob. Maka dengan itu bermulalah satu
lagi tahap politik Sarawak iaitu pada tahun 1981 sehinggalah pada tahun
1990-an.
Tahap Keempat Abdul
Taib Mahmud (1981-1990)
Masalah Dalaman Parti
SNAP
Ketika Taib Mahmud mengambil alih ketua politik
Sarawak beliau berdepan dengan krisis dalam politik negeri Sarawak. Hal ini
kerana, Abdul Taib Mahmud tidak diterima oleh sebahagian penduduk Sarawak
khasnya orang Dayak. Orang Dayak walaupun telah berkerjasama dengan kerajaan
melalui gabungan parti PESAKA dengan parti Bumiputera yang membentuk PBB parti
PESAKA BUMIPUTERA BERSATU tetapi mereka tidak mempunyai kuasa yang banyak dalam
pentadbiran Abdul Taib Mahmud. Dalam pentadbiran Abdul Taib Mahmud dilihat
lebih kepada pro Dayak. Pada ketika itu juga, parti SNAP menghadapi krisis
dalaman partinya. Dua orang pemimpin parti SNAP iaitu Leo Moggie dan Daniel
Tajem telah mempersoalkan James Wong seorang Cina menjadi pemimpin parti Dayak
iaitu SNAP.
Sebelum itu, SNAP diketuai oleh orang Dayak tetapi telah dilantik menjadi
Persuruhjaya Malaysia di New Zeland. Beliau telah melepaskan jawatan tersebut
dan digantikan oleh James Wong. James Wong enggan melepaskan jawatannya
walaupun telah dipujuk oleh orang Dayak dan pemimpin SNAP. Akhirnya Leo Moggie
dan kumpulannya telah menubuhkan sebuah parti baru yang dikenali sebagai parti
BANGSA DAYAK SARAWAK (PBDS) pada tahun 1983. Hal ini telah menunujukkan
pemimpin SNAP telah berpecah kepada dua kumpulan, satu kumpulan yang masih
menyokong James Wong dan kekal dalam parti SNAP. Manakala satu lagi kumpulan
telah keluar dari SNAP dan membentuk parti parti baru iaitu PBDS. Pada tahun
1983, berikutan dengan penubuhan PBDS turut menunjukkan kenaikkan sentemen
perkauman Dayak di Sarawak, sentemen ini akhirnya mencapai kemuncak pada tahun
1987 yang dikenali sebagai dayakisme.
Pakatan Menjatuhkan Pimpinan Abdul Taib Mahmud
Pada tahun 1987 orang dayak membuat perancangan
untuk mendapatkan kembali kuasa pentadbiran Sarawak di bawah orang dayak dalam
perkataan lain orang Dayak ingin mengembalikan hegomeny orang Dayak di Sarawak
sebagaimana yang telah berlaku pada tahun 1960-an. Orang dayak cuba
menggulingkan kerajaan Abdul Taib Mahmud pada tahun 1987, dengan itu 28 orang
ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak telah berkumpul di Hotel Ming Court di Kuala
Lumpur dan mengeluarkan satu memorandum untuk menyatakan tidak yakin kepada
kerajaan Abdul Taib Mahmud. Namun demikian apabila berdepan dengan masalah ini,
Abdul Taib Mahmud telah bertindak dengan bijak beliau telah membubarkan Dewan
Undangan Negeri dan membolehkan pilihan raya diadakan di Sarawak. Pembubaran
Dewan Undangan Negeri amat mengejutkan dan mengecewakan pihak PBDS kerana PBDS
pada mulanya menjangkakan Abdul Taib Mahmud meletak jawatan dan bukannya
mengistiharkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Bagaimana pun dalam pilihan raya 1987 PBDS telah
bekerjasama dengan sebuah pertubuhan politik yang dikenali sebagai Persatuan
Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS). PERMAS ini dibentuk oleh sekumpulan orang
Melayu Sarawak yang tidak berapa suka dengan pentadbiran Abdul Taib Mahmud
tetapi masih setia kepada Abdul Rahman Yaakob. Dalam
masa yang sama, penyokong yang setia kepada Abdul Rahman Yaakob telah bersedia
untuk melemahkan dan menjatuhkan Abdul Taib Mahmud. Mereka mempertikaikan gaya
kepimpinan Abdul Taib Mahmud yang disifatkan sebagai tidak boleh dipercayai dan
diktator. Di samping itu, mereka juga menuduh Abdul Taib Mahmud pro-Cina,
terutamanya pro SUPP kerana SUPP memberikan sokongan yang kuat kepada Taib
Mahmud. Selain itu, penyokong Rahman Yaakob telah menyentuh tentang isu balak.
Taib dituduh membahagikan lesen-lesen balak kepada para penyokongnya.
PBDS dan PERMAS bekerjasama dan bergabung membentuk satu kumpulan yang dikenali
sebagai kumpulan Maju. Kumpulan Maju ini berdepan dengan Barisan Nasional
Sarawak. Pada masa tersebut dalam Barisan Nasional Sarawak ada parti SUPP,
parti SNAP dan parti PBBS. DAP dan juga calon-calon bebas bertanding dalam
pilihan raya 1987. Dalam pilihan raya tersebut PBDS dan juga kumpulannya telah
tewas kepada Barisan Nasional Sarawak. Di mana keputusan pilihan raya
menunjukkan Barisan Nasional memperolehi 28 buah kerusi, kumpulan Maju
memenangi 20 buah kerusi, DAP dan calon Bebas tidak memperolehi kerusi dalam
pilihan raya 1987. Dalam kumpulan Maju daripada 20 buah kerusi yang dimenangi,
15 kerusi PBDS dan 5 kerusi diperolehi oleh PERMAS. Dengan
itu PBDS tidak berjaya dengan rancangannya untuk menjatuhkan kerajaan Abdul
Taib Mahmud. Abdul Taib Mahmud masih mengekalkan jawatannya menjadi ketua
menteri Sarawak selepas pilihan raya tersebut.
Semangat Dayakisme.
Semangat kaum
Dayak jelas sekali nampak pada tahun 1983 apabila berlaku perpecahan dalam
parti SNAP yang telah menyebabkan dua kumpulan parti SNAP. Satu
kumpulan masih setia kepada James Wong dan satu lagi kumpulan tidak setuju
dengan kepimpinan James Wong keluar daripada parti SNAP membentuk pati baru
PBDS di bawah Leo Moggie. Semangat ini mencapai kemuncak pada tahun 1987
apabila PBDS merancang untuk mengambil balik jawatan Ketua Menteri Sarawak
kepada orang Dayak. Akhirnya membawa kepada rancangan mereka menjatuhkan Taib
Mahmud. Namun rancangan mereka tidak berjaya Taib terus kekal menjadi Ketua
Menteri Sarawak. Antara sebab semangat dayakisme timbul antara tahun 1987
disebabkan kesan kerajaan Abdul Taib Mahmud. Pimpinan Abdul Taib Mahmud
tidaklah diterima oleh semua penduduk Sarawak. Hal ini kerana ada pihak yang
merasakan mereka tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran, terutamanya orang
Dayak. Dan golongan ini berpendapat bahawa kerajaan pada ketika itu dikuasai
oleh golongan Melayu yang menyokong Abdul Taib Mahmud. Walaupun orang Dayak
telah bekerjasama dengan kerajaan melalui pembentukkan PBB. Begitu juga parti
SNAP yang juga telah menyertai kerajaan 1976 di mana menjadi sebahagian
daripada Barisan Nasional Sarawak tetapi orang Dayak tidak mendapat tempat yang
sewajarnya dalam kerajaan Abdul Taib Mahmud. Maka
dalam keadaan ini telah lahirnya perasaan tidak puas hati dalam kalangan
sebahagian orang Dayak dan perasaan tersebut telah diterjemahkan dalam gerakkan
untuk menjatuhkan pentadbiran Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak. Selain
daripada itu orang Dayak merupakan kumpulan penduduk mejoriti di Sarawak iaitu
merangkumi 40 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Sarawak. Maka
sebagai kumpulan mejoriti orang Dayak merasakan komunitinya mempunyai hak dalam
menerajui kepimpinan kerajaan Sarawak.
Tambahan pula, pemimpin Dayak pernah memegang
jawatan ketua menteri Sarawak seperti Stephen Kalaong Ningkan dan Penghulu Tawi
Sli. Maka keadaan ini menunjukkan bahawa orang Dayak mempunyai pemimpin yang
layak untuk mengetuai kerajaan Sarawak dalam keadaan ini maka mereka ini
mendapatkan kembali kuasa. Kebangkitan Dayakisme ini berkait rapat dengan
krisis parti SNAP kerana dalam parti SNAP itu adanya berlaku krisis kepimpinan
di mana akhirnya krisis kepimpinan itu membawa kepada perpecahan parti SNAP.
Lahirnya dua kumpulan satu kumpulan diketuai oleh Leo Moggie dan satu kumpulan
lagi masih setia kepada kepimpinan James Wong. Kumpulan parti SNAP di bawah
James Wong memperjuangkan hak berbilang kaum.
Manakala kumpulan yang di bawah PBDS adalah kumpulan yang ingin memperjuangkan
semangat perkauman kaum Dayak. Kewujudan PBDS akhirnya mewujudkan sentiment
perkauman dalam kalangan kaum Dayak sehingga ke tahun kemuncak 1987. Stetment
itu tidak mencapai matlamat dan tidak dapat menjatuhkan kerajaan Taib Mahmud. Hal
ini kerana Abdul Taib Mahmud telah membubarkan Dewan Undangan Negeri Sarawak
dan mengadakan pilihan raya.
No comments:
Post a Comment