Pendahuluan
Sarawak mempunyai sebuah masyarakat
yang pelbagai. Kepelbagaian ini bukan hanya kerana Sarawak didatangi oleh kaum
pendatang Cina dan India, tetapi juga disebabkan kewujudan asal pelbagai suku
kaum tempatan yang merupakan peribumi Sarawak. Oleh hal yang demikian, parti
politik memainkan peranan yang penting dalam membela hak setiap kaum. Parti
politik yang mewakili etnik yang pelbagai ini mempunyai perbezaan dari segi
ideologi dan matlamat perjuangannya. Antara salah satu aspek yang menarik dalam
arena politik Sarawak adalah perpecahan dan gabungan parti politik.
Perkembangan politik negeri Sarawak terbahagi kepada
empat. Pada tahun 1963-1969 orang Dayak telah memperolehi kuasa mereka untuk
memerintah Sarawak dan zaman ini dikenali sebagai zaman hegmoni orang Dayak. Bermula
pada tahun 1970 orang Dayak telah kehilangan kepimpinan mereka kepada penduduk
bumiputera Islam dalam politik Sarawak. Di
Sarawak, proses pilihan raya yang pertama telah diperkenalkan pada tahun 1959
dan diadakan secara berperingkat-peringkat. Pada ketika itu hanya sebuah parti
politik sahaja yang terdapat di Sarawak iaitu parti SUPP. Pilihan raya kedua diadakan pada April hingga Jun 1963, pada
ketika itu isu penubuhan Malaysia menjadi isu utama kempen. Perkara utama yang
digunakan oleh parti yang bertanding dalam kempen pilihan raya adalah berkenaan
kedudukan Sarawak dalam Malaysia. Pilihan
raya 1963 sangat penting kerana keputusannya akan menunjukkan reaksi penduduk
sarawak tentang penubuhan Malaysia kecuali parti SUPP, parti politik lain telah
menyatakan persetujuan terhadap penubuhan Malaysia tetapi orang cina yang
diwakili oleh SUPP tidak menyokong rancangan Malaysia.
Hal ini menimbulkan kebimbangan bahawa SUPP yang begitu popular dalam kalangan
penduduk cina kemungkinan membentuk kerajaan.
Akhirnya parti-parti politik yang pro Malaysia
seperti PANAS, BERJASA, PESAKA dan SCA telah bergabung membentuk parti
perikatan Sarawak. Walau bagaimanapun, penyatuan parti-parti politik tidak
dapat dipertahankan sehingga akhirnya parti PANAS keluar maka pengaruh orang Melayu
dalam SAP semakin berkurangan. Pilihan raya 1963 diiadakan di peringkat Majlis
Daerah SAP telah memperoleh kerusi yang
paling banyak berbanding dengan parti yang lain iaitu memperolehi 138 kerusi,
PANAS 59 kerusi, SUPP 116 kerusi, BEBAS 116 kerusi. Jumlah kerusi yang dipertandingkan
dalam pilihan raya tersebut ialah sebanyak 429 kerusi.
Tahap Pertama: Era
Stephen Kalong Ningkan
Selepas pilihan raya telah berlaku perebutan untuk
mengambil kerusi calon bebas. SAP berjaya memperolehi kebanyakan kerusi calon
bebas. Manakala, di peringkat negeri
SAP mendapat 27 kerusi. Daripada 27 kerusi itu, parti yang mendapat paling
banyak kerusi adalah parti PESAKA iaitu
sebanyak 11 kerusi, SNAP 7 kerusi, BERJASA 6 kerusi dan SCA 3 kerusi. Manakala PANAS
4 kerusi, SUPP 5 kerusi dan BEBAS 3 kerusi.
Selepas pilihan raya timbul persoalan yang berhak untuk menjadi ketua
menteri Sarawak. Kalau mengikut pilihan raya, wakil PESAKA berhak menjadi ketua
menteri Sarawak tetapi pada masa itu PESAKA tidak mempunyai pemimpin yang
berkaliber. Oleh sebab itu, jawatan Ketua Menteri ditawarkan kepada parti SNAP
iaitu Stephen Kalong Ningkan wakil orang Iban, dicalonkan juga Temenggung Jugah
wakil PESAKA. Cadangan untuk
melantik kedua-dua calon dayak ini tidak dipersetujui oleh Tunku Abdul Rahman
kerana bagi Tunku jika Ketua Menteri Sarawak ialah orang dayak maka Yang
Dipertua Negeri mestilah orang Melayu iaitu Tun Haji Openg. Temenggung Jugah dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Sarawak di
kerajaan persekutuan. Bagaimanapun
kerajaan yang diketuai oleh Stephen Kalong Ningkan menghadapi banyak masalah
dalaman iaitu dalam negeri Sarawak dan juga masalah dengan kerajaan pusat serta
parti Cina SUPP yang bukan ahli SAP. Dengan
itu Stephen Kalong Ningkan tidak dapat berkongsi kepakaran orang Cina dalam
kerajaan
Kerajaan dalam pentadbirannya tidak membawa banyak
perubahan sama ada kemajuan mahupun projek yang dilaksanakan. Pada masa yang
sama juga berlaku masalah antara parti-parti Melayu iaitu parti PANAS dan
BARJASA, begitu juga antara parti bumiputera Islam dan bukan bumiputera Islam.
Maka dalam keadaan ini beliau menghadapi masalah untuk mendapatkan kerjasama
daripada semua parti yang ada di Sarawak.
Malahan pemimpin BARJASA iaitu Abdul Taib Mahmud sentiasa mengkritik
dasar-dasar dan pentadbiran yang Stephen Kalong Ningkan. Akhirnya Abdul Taib
Mahmud disingkirkan daripada kabinet kerajaan Sarawak. Abdul Taib Mahmud membuat pakatan dengan pemimpin-pemimpin parti
yang lain dengan mengadakan komplot sehingga Stephen Kalong Ningkan dapat
disingkirkan daripada menjawat jawatan Ketua Menteri Sarawak. Selain daripada
manghadapi masalah dalaman, Stephen Kalong Ningkan juga berhadapan dengan
masalah dengan kerajaan pusat atau kerajaan persekutuan. Antaranya isu yang
berkaitan dengan isu tanah.
Isu Tanah
Stephen Kalong Ningkan menghadapi masalah dengan
kerajaan pusat iaitu berkaitan dengan isu tanah. Di Sarawak secara umumnya
terdapat tiga ketogori tanah iaitu tanah campuran, tanah kawasan pribumi dan
tanah kawasan pedalaman. Pada
ketika itu sebahagian besar tanah negeri Sarawak adalah tanah pribumi dan tanah
jenis ini tidak boleh dijual. Namun demikian, apabila Stephen Kalong Ningkan
menjadi Ketua Menteri Sarawak beliau telah membentangkan dalam dewan negeri
tentang cadangan untuk membuat perubahan terhadap undang-undang tanah Sarawak. Antaranya
yang dicadangkan adalah supaya undang-undang tanah lama dilonggarkan agar tanah
pribumi ataupun native land boleh
dijualkan kepada penduduk bukan bumiputera seperti orang Cina untuk
dibangunkan.
Walau bagaimanapun, cadangan tersebut mendapat tentangan daripada parti PESAKA dan juga orang Melayu yang dipimpin oleh Abdul Taib Mahmud kerana bagi Taib
Mahmud dasar Ketua Menteri itu bersifat pro Cina dan anti pribumi. Tindakan
Stephen Kalong Ningkan dikatakan tidak menjaga hak bumiputera. Tambahan
pula, usul pindaan undang-undang tanah ini juga telah dikemukakan oleh tokoh
SCA, Teo Kui Seng.
Dua hari selepas rang undang-undang telah dikemukakan, parti Barjasa, Panas dan
Pesaka membentuk Perikatan Peribumi. Dengan pembentukan Perikatan Peribumi
Sarawak ini, Abdul Taib Mahmud telah dipecat daripada kabinet Stephen Kalong
Ningkan.
Di peringkat persekutuan orang Melayu Sarawak telah berjaya mempengaruhi
kerajaan pusat melalui Abdul Rahman Yaakob. Akhirnya isu tanah ini membawa
tentangan kerajaan pusat terhadap tindakan Stephen Kalong Ningkan. Walaupun
cadangan berkaitan dengan undang-undang tanah telah digugurkan pada Mei 1965,
namun perasaan tidak puas hati tetap ada dalam kalangan penduduk Sarawak terhadap
kerajaan yang diketuai oleh Stephen Kalong Ningkan.
Penggunaan Bahasa
Melayu
Pentadbiran Sarawak yang diterajui oleh Stephen
Kalong Ningkan tidak pernah putus-putus menghadapi masalah. Walaupun krisis
undang-undang tanah telah pun selesai, namun timbul pula masalah yang berkaitan
dengan penggunaan bahasa Melayu. Isu pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan juga menimbulkan perasaan tidak puas hati pemimpin kerajaan pusat
terhadap Stephen Kalong Ningkan terutamanya perdana menteri Tunku Abdul Rahman.
Tunku Abdul Rahman telah meminta supaya Stephen Kalong Ningkan memesatkan
penggunaan bahasa rasmi negara iaitu bahasa Melayu agar dapat mempercepatkan
proses integrasi antara rakyat di Semenanjung Malaysia dengan rakyat Sarawak
serta selaras dengan dasar kerajaan pusat. Walau bagaimanapun, Stephen Kalong
Ningkan tetap dengan pendiriannya dengan meneruskan penggunaan bahasa Inggeris,
Iban dan Cina di Sarawak, khususnya dalam bidang pelajaran. Hal ini, disebabkan
dalam Inter-Governmental Committee Report (IGC) Perkara 17, walaupun bidang
pelajaran di bawah Senarai Persekutuan, namun sistem dan polisi pentadbiran di
Borneo Utara dan Sarawak yang ada pada ketika itu terletak di bawah kawalan
kerajaan negeri dan kerajaan pusat tidak boleh campur tangan melainkan kerajaan
dengan persetujuan negeri.
Selain itu, menurut Perlembagaan Sarawak, Sarawak
tidak dipaksa menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam tempoh
sepuluh tahun setelah pembentukkan Malaysia. Maksudnya dari tahun 1963 sehingga
tahun 1983. Sarawak boleh membuat keputusan sama ada tidak menggunakan bahasa
Malaysia selepas sepuluh tahun sekiranya penduduk Sarawak belum bersedia. Namun
demikian pihak kerajaan pusat telah mendesak penggunaan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan dengan alasan untuk menyatukan penduduk Malaysia dengan
penggunaan satu bahasa. Tetapi cadangan Tunku Abdul Rahman yang bersifat kuku
besi dan menekan pentadbiran beliau itu telah ditolak oleh Stephen Kalong
Ningkan dengan menggunakan Perlembagaan Sarawak untuk menentang. Akhirnya
tindakan Stephen Kalong Ningkan itu telah mengecewakan pihak Tunku Abdul Rahman
kerana ternyata Stephen Kalong Ningkan tidak berhasrat untuk menerima usaha
kerajaan pusat.
Keadaan ini telah menimbulkan rasa kurang senang hati dalam kalangan pemimpin
kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri Sarawak yang diketuai oleh Stephen
kalong Ningkan. Malahan Stephen Kalong Ningkan pada masa itu telah dilebelkan
sebagai anti kerajaan persekutuan.
Isu Pengantian Pegawai British Dengan Pegawai
Tempatan Dalam Perkhidmatan Awam Sarawak
Sejak kemerdekaan negeri Sarawak masih lagi
bergantung kepada khidmat pegawai British.
Dan pegawai-pegawai ini amat diperlukan untuk membantu kerajaan menjalankan
pentadbiran negeri Sarawak terutamanya pegawai kanan British. Contohnya,
penasihat-penasihat British, Setiausaha Kerajaan Negeri, masih dipegang oleh
pegawai British selepas Sarawak mencapai kemerdekaan. Ini kerana di Sarawak pada ketika itu masih kekurangan rakyat
tempatan yang berpendidikan tinggi yang layak untuk menjawat jawatan. Bagaimana pun, bagi kerajaan pusat
kehadiran pegawai-pegawai British boleh menggugat dan menjejaskan usaha
kerajaan untuk mewujudkan perpaduan, maka pihak kerajaan pusat mencadangkan
supaya pegawai dari semenanjung Tanah Melayu dihantar ke Sarawak untuk
mengambil alih peranan pegawai British. Namun
cadangan itu tidak dipersetujui oleh Stephen Kalong Ningkan dan beliau berpendapat
bahawa usaha kerajaan pusat itu akan menjejaskan kebebasan dalam perkhidmatan
awam negeri Sarawak. Di samping itu, Stephen Kalong Ningkan juga berpendapat
sekiranya penguasaan pegawai dari semenanjung jika tidak dibendung akan
membataskan peluang generasi akan datang Sarawak dalam menguasai pentadbiran
awam negeri Sarawak. Maka keadaan ini menimbulkan rasa tidak
puas hati dalam kalangan pemimpin kerajaan pusat terutamanya Tunku Abdul Rahman
dengan kerajaan Stephen Kalong Ningkan. Tunku Abdul Rahman mengganggap bahawa
punca yang menyebabkan kaum Dayak berani mengeluarkan sesuatu kenyataan adalah
disebabkan pengaruh pegawai British. Adalah sangat mustahil bagi kaum Dayak
yang hanya mendapat pendidikan sekolah rendah membuat kenyataan berkenaan jika
tidak mendapat nasihat daripada pegawai British. Tindakan Stephen Kalong Ningkan yang
tidak mahu menggantikan pegawai British dengan pegawai dari semenjung dilihat
sebagai satu usaha Stephen Kalong Ningkan yang masih mahu mengekalkan
pemerintahan British di Sarawak.
Krisis 1966
Isu-isu ini telah membawa krisis pada 1966 di mana
Abdul Taib Mahmud telah berjaya mempengaruhi ahli-ahli majlis negeri untuk
menjatuhkan kerajaan yang diketuai oleh Stephen Kalong Ningkan. Abdul Taib Mahmud telah berjaya
mendapat tandatangan dan sokongan daripada 21 orang ahli Majlis Negeri
menyokong cadangan Taib Mahmud menjatuhkan Stephen Kalong Ningkan. Mereka
menandatangani surat tidak percaya terhadap pentadbiran Stephen Kalong Ningkan.
Kumpulan yang menandatangani surat tidak percaya yang terdiri daripada 21 orang
telah pergi ke Kuala Lumpur berjumpa dengan Tunku Abdul Rahman. Dan Tunku Abdul
Rahman pada masa yang sama tidak berapa suka dengan Stephen Kalong Ningkan
kerana beberapa isu dan tiada pandangan yang baik terhadap corak pentadbiran
Stephen Kalong Ningkan.
Akhirnya, kumpulan itu meminta Yang Dipertua Negeri
Sarawak Tun Haji Openg untuk memecat Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua
Negeri Sarawak. Yang Dipertua Negeri
menemui 21 orang ahli majlis negeri tadi dan akhirnya beliau meminta nasihat
peguam negara dan menggulingkan Stephen Kalong Ningkan dipecat daripada
jawatannya. Kerajaan Pusat mengambil
keputusan untuk meminta yang dipertuan Agong mengumumkan pindaan Perlembagaan
Sarawak yang membolehkan Yang Dipertua Negeri bersidang kemudian mempunyai
kuasa memecat Ketua Negeri. Tunku Abdul Rahman tidak berdiam diri, beliau
sangat menginginkan Stephen Kalong Ningkan disingkirkan daripada terus menjadi
Ketua Menteri Sarawak. Beliau telah mengambil tindakan dengan menggunakan kuasa
yang ada padanya dengan mengarahkan Gabenor Sarawak melucutkan jawatan Stephen
Kalong Ningkan dengan merujuk Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sarawak. Maka
akhirnya hasrat dan cita-cita Tunku Abdul Rahman untuk menyingkirkan Stephen
Kalong Ningkan daripada kabinet kerajaan negeri Sarawak berjaya. Stephen Kalong Ningkan telah membawa
parti SNAP keluar daripada parti perikatan Sarawak. Jawatan Ketua Menteri diganti oleh
Penghulu Tawi Sli yang juga seorang Dayak berketurunan Iban, mengantikan
jawatan ketua menteri sementara sebelum pilihan raya iaitu pada 17 Jun 1966. Namun
demikian, Stephen Kalong Ningkan tidak puas hati. Beliau membawa kesnya ke MahkamahTinggi
Borneo. Dalam perbicaraan tersebut, mahkamah telah memutuskan bahawa tindakan
Gabenor Sarawak tidak sah disisi undang-undang kerana Gabenor telah bertindak
di luar kuasanya. Dalam masalah tersebut Yang Dipertua Negeri Sarawak tidak
mempunyai kuasa untuk memecat Ketua Menteri. Seterusnya perbicaraan diadakan
dan akhirnya Stephen Kalong Ningkan dilantik semula menjadi Ketua Menteri
Sarawak. Setelah dilantik menjadi
Ketua Menteri semula Stephen Kalong Ningkan meminta supaya kemasukan Sarawak ke
dalam Malaysia perlu dikaji semula.Beliau juga meminta pilihan raya perlu
diadakan sekali lagi di Sarawak supaya rakyat dapat menentukan
kedudukannya.Kesan daripada tindakan tersebut telah menyebabkan kerajaan pusat
yang diterajui oleh Tunku mencetuskan ketegangan dan berasa tercabar serta
tidak puas hati. Sehinggakan darurat diadakan di Sarawak pada 15 Ogos yang
diistiharkan oleh yang Dipertua Agong dengan alasan kerajaan ningkan mendapat
sokongan SUPP yang sering dikaitkan dengan komunis yang mengancam keselamatan
Sarawak.Pengistiharan darurat di negeri Sarawak ini sebagai satu langkah untuk
memecat Stephen Kalong Ningkan dan pilihan raya 1968 ditangguhkan.Kemudian
meminda perlembagaan negeri Sarawak dengan memberi kebenaran kepada Yang
Dipertua Negeri Sarawak untuk memecat Ketua Menteri. Dengan pemecatan kali ini
beliau tidak dapat mengembalikan kedudukannya.1966 Ningkat dipecat daripada
jawatannya sebagai ketua menteri Sarawak dan Tawi Sli dilantik sekali lagi
menjadi ketua Menteri Sarawak yang ke dua.
Berkongsi Dan Saling Memperbetulkan :)
Berkongsi Dan Saling Memperbetulkan :)
No comments:
Post a Comment